Khamis, Disember 03, 2009

SELAMAT TAHUN BARU 1431

Berapakah umur anda sekarang? Saya dilahirkan pada 20 Feb 1962, jadi pada tahun 2010 nanti, usia saya akan bertambah lagi menjadi 48 tahun. Namun mengikut perkiraan tahun Islam, pada penghujung bulan 12 nanti iaitu masuk tahun 1431 maka umur saya akan mencecah 50 tahun.
Kalau mengikut umur nabi, cuma ada 13 tahun lagi untuk menghimpun amalan untuk memasuki rumah yang kekal abadi. Kumpul-kumpulkanlah amalan. Sekarang ni saya dok melatih diri ’membayar hutang’ pada Tuhan.
Amalan baik ni bukan setakat sembahyang dan puasa saja tetapi melatih hati supaya hati kita bersih, baik sangka dan sentiasa gembira dan bersyukur setakat mana yang kita ada.
Kalau makan, jangan makan sorang-sorang. Sembahyang, jangan sembahyang sorang-sorang. Kalau tidur, jangan tidur sorang-sorang.
Kalau saya keluar makan dengan isteri saya akan order satu pinggan makanan dan satu gelas minuman. Makanan berkongsi dan minuman berkongsi. Inilah dia orang tua yang paling romantik.
Kalau kat warung makan nasi lemak atau roti canai saya akan sediakan wang yang cukup untuk bayar orang yang makan semeja dengan saya. Berapa senlah sangat. Tapi biasanya orang lain yang belanja saya.
Kat rumah pula biasanya seminggu sekali makan ’nasi ambeng’ (nasi yang dimakan dalam talam) bersama anak-anak.
Menjadi suatu kepuasan bila dapat menjadi imam dan makmumnya adalah isteri dan anak-anak. Anak-anak yang dah besar hingga yang sekecil-kecilnya 3 tahun berkumpul bersama untuk solat.
Kepuasaan ini lebih daripada kepuasan memiliki rumah di Pelangi Semenyih, Pandan Jaya, Dusun Tua dan Kajang yang terpaksa ditinggalkan kerana pulang ke kampung halaman. Kampung Ruat yang lama kutinggalkan. Selamat Tahun Baru. Semoga dengan bertambah umurku akan bertambah pula amalanku. Amin.



Tiada ulasan: