Ahad, Jun 14, 2009

CERITA KHASIAT AIR TELAGA SHEIKH ABDULLAH YAMANI


JERAI 8 Sept. - Sanggupkah anda berulang-alik sejauh 42 kilometer setiap minggu selama 10 tahun ke puncak Gunung Jerai semata-mata mahu mengambil air dari telaga Tok Sheikh?
Bagi seorang pesara, Abdul Aziz Bakar, 50, sejak merasai air telaga itu pada 1997, beliau terus berulang-alik dari rumahnya di Simpang Empat, Alor Star setiap minggu untuk mengambil air dari telaga tersebut.
Beliau mendapat tahu mengenai air mineral yang terdapat di telaga itu semasa bertugas sebagai fasilitator dan selalu mengadakan kem motivasi di Gunung Jerai.
"Air di Telaga Tok Sheikh ini tidak sama dengan air dari tempat lain kerana ia mengandungi pelbagai keistimewaan selain bebas daripada klorin.
"Badan akan terus merasa segar dan keletihan kita juga akan hilang apabila kita minum air telaga ini," katanya ketika ditemui di Kompleks Telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai di sini baru-baru ini.
Air mineral yang terdapat di Kompleks Telaga Tok Sheikh yang terletak di puncak Gunung Jerai yang dikatakan mampu menyembuhkan penyakit terus menggamit pengunjung untuk datang ke situ.

Telaga Tok Sheikh sentiasa mengalirkan air yang jernih.

Ketika kunjungan Utusan Malaysia ke Kompleks Telaga Tok Sheikh baru-baru ini, kawasan telaga itu tidak putus-putus dikunjungi pelancong yang mahu merasai sendiri kesejukan air telaga itu.
Air mineral di situ telah wujud sejak dahulu lagi dan diambil namanya sempena nama Tuan Sheikh Abdullah Yamani iaitu orang yang bertanggungjawab mengislamkan Sultan Muzzafar Shah I pada 1136 Masihi (531 Hijrah).
Air telaga ini telah digunakan oleh Sheikh Abdullah Yamani dan digunakan oleh tukang-tukang yang membina masjid di puncak Gunung Jerai satu ketika dahulu.
Jelas Aziz, air telaga itu juga jika disimpan, akan kekal jernih.
"Saya pernah menyimpan air yang diambil daripada telaga ini selama dua bulan, namun ia tetap kekal jernih dan tidak keruh.
"Saya juga tidak mengalami masalah kesihatan seperti sakit perut dan sebagainya jika minum air mentah telaga ini," tambahnya.
Aziz memberitahu, beliau akan merasa sedikit kelainan jika minum air selain daripada air telaga tersebut.
"Air daripada paip biasa tidak mempunyai rasa yang sama seperti air telaga berkenaan,'' katanya.
Bagi Syed Ahmad Shauki, 46, yang bekerja sebagai penyelia taman strawberi di gunung itu, beliau juga selalu berkunjung ke telaga berkenaan untuk mengambil air dan menyegarkan badan.
"Air di telaga ini memang berbeza kerana sebaik sahaja kita minum airnya, badan yang letih pun akan kembali segar.
"Selain itu, jika kita mandi di sini, walaupun airnya terasa sejuk sehingga ke tulang, namun kita tidak akan menggigil," katanya.



Tiada ulasan: